Tafsiran
"kerja pembinaan" ertinya pembinaan, penyambungan, pemasangan, pembaikan, penyenggaraan, pembaharuan, pemindahan, pengubahsuaian, pengubahan, perombakan, atau perobohan—
(a) mana-mana bangunan, binaan, bangunan besar, struktur, dinding, pagar atau cerobong, sama ada dibina keseluruhannya atau sebahagiannya di atas atau di bawah paras bumi;
(b) mana-mana jalan, kerja pelabuhan, landasan kereta api, laluan kabel, terusan atau lapangan terbang kecil;
(c) apa-apa kerja saliran, tali air atau kerja pengawalan sungai;
(d) apa-apa kerja elektrik, mekanikal, air, gas, petrokimia atau telekomunikasi; atau
(e) mana-mana jambatan, jejambat, empangan, takungan, kerja tanah, talian paip, salur najis, akueduk, pembetung, pemacu, syaf, terowong atau kerja penebusgunaan,
dan termasuklah—
(A) apa-apa kerja yang membentuk bahagian yang penting dan perlu atau sebagai persediaan atau sementara bagi kerja-kerja yang diperihalkan dalam perenggan (a) hingga (e), termasuk pembersihan tapak,
penyelidikan dan pembaikan tanah, pemindahan tanah, penggalian, peletakan batu asas, pemulihan dan landskap tapak; atau
(B) pemerolehan bahan binaan, kelengkapan atau pekerja, yang semestinya dikehendaki bagi mana-mana kerja yang diperihalkan dalam perenggan (a) hingga (e);
Seksyen 2. (Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520))